Ahad, 18 Oktober 2009

pernikahan di lubuk antu -- dunia wanita dari persepsi penulis lelaki

Pernikahan di Lubuk Hantu merupakan karya Profesor Rahman Shaari. Karya ini cuba membawa pembaca mengenai pernikahan rahsia di sebuah kawasan bernama Lubuk Hantu. Di sinilah pertemuan jodoh antara Dayang Tuxis dengan Kapten Abeh dan Siti Ofisa bersama laksamana.

Pembaca akan mula berfikir sejenak tentang karya yang dihasilkan. Adakah segala yang wujud dalam karya ini hanya mainan skrip yang ditulis oleh Kapten Abeh dan dilakonkan dalam minda Rini yang membaca skrip tersebut. Namun dapat juga ditafsirkan bahawa segala yang dibentangkan dalam skrip adalah benar belaka dan diadaptasi dalam skrip hasil wacana yang wujud dalam diri Kapten Abeh. Segalanya dapat ditafsir oleh pembaca itu sendiri.
Watak Siti Ofisa dan Dayang Tuxis benar-benar mencuri tumpuan pembaca. Watak yang diwujudkan walaupun sama-sama wanita namun masih terdapat perbezaan yang boleh dibentangkan. Walaupun kelihatan watak yang dicipta dalam minda pengarang adalah lebih kurang serupa, namun masih wujud perbezaan yang boleh difikirkan oleh pembaca.
Dicelahan perbezaan yang diwujudkan masih terselit persamaan dari kedua-dua watak ini. Mereka sama-sama ke Lubuk Hantu menjalankan pernikahan secara rahsia dan mereka sama-sama menjadi isteri rahsia kepada lelaki-lelaki yang menginginkan mereka secara rahsia.





PERBANDINGAN PERWATAKAN SITI OFISA DAN DAYANG TUXIS


SITI OFISA
Siti Ofisa merupakan seorang wanita dari Kuala Bayu. Beliau merupakan seorang penyanyi nasyid di Kuala Bayu. Dia juga merupakan juara pidato Kuala Bayu. Kumpulan Nasyidnya dianggap terbaik di seluruh Sabah. Dia merupakan juara pidato. Hal ini bermakna Siti Ofisa bijak dalam berpidato. Siti Ofisa juga dilukiskan sebagai seorang yang rajin mentelaah ilmu pengetahuan

“Siti Ofisa telah agak lama mengumpul pelbagai maklumat daripada pelbagai cabang ilmu. Dia memperolehnya hasil pembacaan dan diskusi.
(Rahman Shaari: 172, 2008)

Petikan diatas jelas menunjukkan bahawa Siti ofisa merupakan seorang yang rajin dan suka kepada sesuatu yang bersifat keilmuan. Dia juga dilukiskan sebagai seorang guru agama. Hal ini menunjukkan Siti Ofisa mempunyai ilmu pengetahuan agama yang tinggi sehingga mampu menjadi seorang guru agama ditempatnya.
Dari sudut lakonan pula, Siti Ofisa merupakan seorang pelakon yang berkebolehan. Pada peringkat awalnya, dia telah bergiat aktif dalam bidang lakonan. Selepas bertemu dengan laksamana, dia telah memperkukuhkan lagi bakat lakonannya sehingga dia merasakan dia lebih hebat dalam bidang lakonan berbanding laksamana sendiri.
Siti Ofisa boleh dikatakan seorang gadis yang bijak. Bijak dalam mengelak. Siti Ofisa bijak mengelak pelawaan kamel Do yang boleh dikatakan ‘mengiginkannya’. Dia sebagai seorang wanita yang berani kerana melayan kerenah Kamel Do. Namun, perwatakan Siti Ofisa boleh dikatakan berbeza dengan dirinya yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. Dari gaya percakapan dan dialog yang digunakan lebih berani.
Walaupun dia sendiri tidak selesa dengan kamel Do, namun dia mampu melayan kerenah Kamel Do yang dianggap keterlaluan. Dalam gurauan, Siti Ofisa mampu mengelak pelawaan Kamel Do untuk bermalam atau tidur sejam dua di homestaynya. Siti Ofisa dengan kebijaksanaannya mungkin telah dapat mengesan sesuatu yang aneh terhadap Kamel Do, tetapi tidak dipertontonkan kepada Kamel Do dengan jelas dan nyata.
Sesudah bernikah dengan Laksamana, Siti Ofisa bijak memainkan lakonannya. Walaupun dia sudah mengandung dia masih mahu menyembunyikan identiti bapa kepada si kecil dalam perutnya. Bahkan abangnya sendiri juga tidak dikhabarkan dengan jelas. Dia hanya memberitahu dia sudah berkahwin.
Siti Ofisa berpegang dengan perkara yang dijanjikan sejak mereka bernikah. Rahsia tetap menjadi rahsia. Walaupun berada di rumah isteri pertama laksamana iaitu Julia. Dia langsung tidak memberitahu Julia identiti suaminya. Malahan dia telah berbohong bahawa suaminya adalah pendatang yang telah melarikan diri.
Siti Ofisa sebagai seorang wanita sanggup mempertaruhkan kehidupannya demi seorang lelaki bernama Laksamana. Dia rela berhadapan dengan masyarakat tanpa mendedahkan rahsia yang disembunyikannya. Biar sampai bila-bila juga. Siti Ofisa digambarkan sebagai seorang wanita yang tidak mempedulikan pandangan masyarakat. Ketika dia mengandung, dia langsung tidak mempedulikan pandangan masyarakat yang menganggapnya mengandungkan anak luar nikah. Perkara yang penting baginya, dia sudah memberitahu kepada masyarakat yang dia sudah berkahwin.
Dari sudut pemikiran yang dibawa Siti Ofisa terlalu rendah. Dia dilukiskan hanya mementingkan nafsu apabila berkahwin dengan laksamana. Dia sebagai seorang wanita langsung tidak memikirkan kehidupannya di masa hadapan apabila sanggup menikahi laksamana secara rahsia buat selama-lamanya. Dia langsung tidak memikirkan keburukannya apabila berkahwin secara rahsia dengan laksamana.
Siti Ofisa walaupun pernah menjadi johan pidato mengenai emansipasi wanita lansung tidak mempraktikkannya dalam kehidupnya. Dia sebagai seorang wanita sanggup meletakkan dirinya sebagai mangsa kepada lelaki yang berkendakannya. Jika ditenung dan difikirkan dari sudut wanita dan keadilan (bukan dari sudut lelaki) perkahwinan rahsia tidak kira berlaku di mana hanya akan mendatangkan kemudaratan— kepada idividu, keluarga dan keturunannya nanti. Hal itu yang tidak pernah difikirkan oleh Siti Ofisa yang boleh dianggap sebagai bijak dan berwawasan.
Seharusnya sebagai seorang wanita yang di lukiskan sebagai wanita yang berwawasan dan mempunyai ilmu yang tinggi, tentu terlintas difikirannya akibat hukum yang akan diterima akibat dari perkahwinan yang dirahsiakannya itu.
Dari sudut kewanitaannya pula, dia langsung tidak meluahkan ketidakselesaan berkahwin secara rahsia—untuk selama-lamanya—dalam dirinya. Dia tidak langsung dilukiskan sebagai wanita yang sekurang-kurangnya risau tentang perkahwinan yang dilaluinya. Tanpa memikirkan baik buruk perkawinan yang bakal dilaluinya, dia bersetuju dengan perkahwinan yang dirancang itu.
“Aku ini sama seperti Dayang Tuxis, tiada pendidikan formal di peringkat universiti. Seperti Dayang Tuxis, ini tidak jadi halangan untuk aku muncul di hadapan khalayak intelektual.” Demikian Siti Ofisa berfikir.
(Rahman Shaari: 172 :2008)

Siti Ofisa dalam keadaan hamil cuba membuktikan dirinya standing dengan Dayang tuxis. Dia berfikir jika Dayang Tuxis dapat bercakap dikhalayak ramai, maka dia juga boleh. Persoalannya, mungkinkah timbul rasa cemburu Siti Ofisa terhadap Dayang Tuxis yang ‘seangkatan’ dengannya? Atau mungkinkah Dayang Tuxis telah menjadi rangsangan kepada Siti Ofisa untuk muncul di khalayak ramai dengan ilmu dan pembacaan yang dipegangnya? Itu mungkin hanya dapat dijawab oleh pembaca sendiri.
Disini telah wujud Anjakan Makna dimana pembaca boleh berfikir yang Siti Ofisa cemburu akan sahabatnya itu atau ingin menganggat sahabatnya menjadi role model agar dapat merangsang kejayaan dirinya kelak.
Siti Ofisa yang ditenung dari sudut positifnya mempunyai cita-cita yang tinggi dan berwawasan dalam hidupnya. Dia cuba untuk menjadi seperti Dayang Tuxis. Dia yakin dari kebolehan serta pengalamannya, dia mampu muncul di khalayak ramai. Siti Ofisa yakin yang dia mampu member ceramah dalam khalayak yang besar sehebat penceramah lain termasuklah Dayang Tuxis.
Siti Ofisa tidak gentar dalam menyuarakan pendapatnya dihadapan khalayak ramai. Hal ini dapat dilihat apabila pujian yang diterimanya apabila selesai ceramahnya yang menjadi isu hangat dalam majlis itu.


DAYANG TUXIS
Perwatakan Dayang Tuxis juga boleh dikatakan berbeza dengan Siti Ofisa. Dayang Tuxis lebih bersifat lemah lembut dan pemalu berbanding dengan sifat siti ofisa. Dia agak pemalu untuk membincangkan hal yang boleh dianggap sebagai hal ‘suami isteri’. Contohnya apabila mendengar perbualan antara Siti Ofisa bersama laksamana, dia sendiri berasa malu dan dia sukar untuk mengeluarkan kata-kata yang diucapkan oleh Siti Ofisa kepada laksamana tanpa wujud perasaan segan dan silu terhadap Dayang Tuxis dan Kapten Abeh yang ada bersama-sama dengan mereka.
Dia juga agak takut apabila ingin dipertemukan dengan Kamel Do. Apabila mendengar daripada Siti Ofisa mengenai keburukan yang wujud dalam diri Kamel Do, dia menjadi gerun untuk bertentang mata dengan Kamel do. Takut perkara yang berlaku pada Siti Ofisa terjadi pada dirinya pula. Jika dilihat, Siti Ofisa berani bersemuka dengan Kamel Do walaupun telah merasai kelainan apabila berbicara dengan Kamel Do melalui telefon.
Pemikiran Dayang Tuxis boleh dianggap terarah kepada aliran feminisme. Tajuk ceramah yang dibentangkan sahaja sudah cukup membuktikan yang dia bersifat feminisme. ‘Wanita di Mata Manusia’ merupakan tajuk perbentangannya. Bertitik tolak dari ceramah yang diberikan, dapat ditafsirkan bahawa dia merupakan pejuang wanita yang benari. Dia berani bercakap mengenai penindasan dan subordinasi ke atas wanita kini.
Perkara lain yang dapat dilihat adalah Dayang Tuxis sebagai seorang wanita tidak mahukan anak dalam perkahwinannya. Satu lagi persoalan yang mungkin dapat difikirkan, adakah Dayang Tuxis benar-benar tidak mahukan anak atau telah terikat dengan perjanjian yang dimaterai dengan Kapten Abeh sebelum perkahwinan rahsia mereka. Namun dia sebagai seorang wanita mampu berfikir sejenak mengenai masa depannya kelak jika dia mempunyai anak hasil perkahwinan rahsianya itu. Tidak seperti Siti Ofisa yang lansung tidak memikirkan bahana yang mendatang apabila dia mengandungkan anak hasil perkahwinannya. Kemungkinan pengaruh feminis yang dianutinya menyebabkan dia tidak mahukan anak.
“jika kita hanya melihat wanita sebagai objek seks, dan sebagai kilang untuk mengeluarkan anak, kita hanya berkisar di tahap lama. Kini, wanita yang sedar sudah mendefinasikan diri jauh meninggalkan tahap itu. Wanita ialah presiden. Wanita ialah Perdana Menteri. Wanita ialah Setiausaha Negara. Wanita ialah Gabenor Bank Negara. Wanita ialah Naib Canselor. Kita lihat wanita sebagai tenaga-tenaga yang hebat, bukan sekadar isteri yang mengharapkan suami jujur.”
(Rahman Shaari : 161, 2008)
Diakui Dayang Tuxis telah mempunyai kesedaran tentang hak-hak dan kebebasan wanita. Namun, dia tidak pernah mengaplisiasikan pengetahuannya dalam kehidupannya. Dia sebagai seorang isteri sanggup menjadi isteri rahsia kepada seorang lelaki yang penakut (kerana takut memberitahu isteri pertama yang dia telah berkahwin lagi ) walhal dia sedar wanita berhak mendapat hak-hak yang bersih sebagai seorang isteri.
Seharusnya dia sebagai wanita feminis sedar bahawa isteri pertama juga harus diberi hak untuk mengetahui perkahwinan itu dan dia juga harus diberi hak untuk diakui sebagai seorang isteri kepada umum. Dayang Tuxis seolah-olah bukannya menjadi feminis tetapi telah mewujudkan maskuliniti dalam ucapan dan perbahasannya. Pemikirannya jelas memberikan pembelaan kepada kaum penindas. Persoalannya adakah Dayang Tuxis ini benar feminis yang sebenarnya. Itu yang harus difikirkan sejenak.
Kesedaran telah timbul dalam diri Dayang Tuxis sebagai orang pengajian. Dia sedar kebolehan yang wujud dalam diri wanita. Berbanding Siti Ofisa yang memang mahukan anak dalam hidupnya sebagai pelengkap naluri wanita menjadi sorang ibu. Kehamilan dianggap sebagai keinginan semua wanita. Namun, Dayang Tuxis menggangap wujud perkara yang lebih penting selain melahirkan anak.
Hakikatnya, Dayang Tuxis sebenarnya menginginkan anak, sama seperti wanita lain. Cuma dia tidak seperti Siti Ofisa yang berani bermain dengan masa depan sendiri. Baginya mempunyai anak tidak menjanjikan kebahagiaan duniawi. Pada pendapatnya akan timbul banyak masalah dan kemungkinan apabila anaknya dewasa kelak. Itu apa yang digambarkan secara tersurat. Namun, kita dapat membuat tafsiran bahawa Dayang Tuxis sebenarnya sememangnya menginginkan anak dalam hidupnya. selaras dengan nalurinya sebagai seorang wanita yang bersifat keibuan. Hal ini dapat dibuktikan apabila Dayang Tuxis telah memberitahu jurujual di sebuah kedai emas bahawa dia sudah mempunyai dua orang anak.
Apabila ditanya oleh Kepten Abeh mengapa dia menipu, Dayang Tuxis menjawab dia tersilap. Sebenarnya dia telah memberi makna tersurat kepada Kapten Abeh bahawa dia terlalu menginginkan anak. Perjanjian yang pernah diikat menghalangnya daripada memiliki anak. Oleh itu dia menjadikan pegangan feminis yang dipegang sebagai alasan untuk tidak melahirkan anak.
Konsep ‘patuh’ dipegang kuat oleh Dayang Tuxis dalam perkahwinannya juga menyebabkan dia tidak boleh melahirkan anak. Dia sebagai wanita terpaksa patuh kepada permintaan Kapten Abeh yang tidak mahukan anak dalam perkahwinan mereka. Sebagai seorang isteri yang patuh kepada suaminya, Dayang Tuxis terpaksa menurut kehendak perjanjian yang mereka tidak mahukan kewujudan anak dalam perkahwinan mereka.
Pada penghujung cerita, Dayang Tuxis meminta kebenaran dari Kapten Abeh untuk menjaga si kecil, anak Siti Ofisa. Kemahuan hatinya yang meluap-luap inginkan anak dapat dilihat dari sudut ini. Dia bersungguh-sungguh menjaga anak yang bukan anaknya. Dia mahu mengambil anak itu dari ibu angkatnya Julia.
Berbeza benar sikap Dayang Tuxis dan Siti Ofisa. Siti Ofisa tanpa alasan yang munasabah sanggup menyerahkan anaknya kepada orang lain. Tidak dinafikan, yang diberi anaknya untuk dipelihara adalah suaminya sendiri dan madunya juga (ibu tiri si kecil). Namun dia sebagai seorang ibu—tambahan pula mempunyai pendidikan agama yang tinggi—tidak mahu menjaga anak dari darah dagingnya sendiri.
Hakikatnya, Dayang Tuxislah yang mempunyai sifat keibuan yang tinggi. Naluri untuk mendapatkan anak amat tebal dalam dirinya sehingga dia sanggup mengambil anak Siti Ofisa untuk menjadi anaknya.





KESIMPULAN
Terlalu banyak perbezaan dalam diri watak yang diukir oleh penulis. Namun yang lebih banyak lagi adalah kecelaruan ‘kewanitaan’ yang menebal dalam diri watak. Perwatakan Dayang Tuxis dan Siti Ofisa bagai bukan diri yang ada pada wanita.
Sekali imbas dapat diperhati dan diteliti seperti mereka menyokong perlakuan lelaki. Mereka seolahnya menyebelahi tindakan dan tingkahlaku lelaki. Tidak mustahil bagi perwatakan lelaki yang menyokong perlakuan (tingkahlaku buruk di mata wanita) lelaki kerana mereka juga lelaki. Namun, agak janggal bagi wanita yang sebenar-benarnya wanita menyokong ini semua. Contohnya, segala isi ceramah Dayang Tuxis dilihat lebih memihak kepada kelelakian.
Persoalan yang mungkin timbul apabila ahli-ahli feminis mentelaah karya ini, adakah Dayang Tuxis benar-benar feminis ataupun telah terpengaruh dengan maskuliniti ciptaan Kapten abeh untuk dirinya. Bagi Siti Ofisa pula hanya menerima segalanya dengan hati yang terbuka tanpa wujud perasaan gundah-gulana seperti yang dialami oleh wanita-wanita lain yang seangkatan dengannya.
Akhir sekali, mungkin karya Pernikahan Dilubuk Hantu merupakan ciptaan skrip dari Kapten Abeh untuk teaternya. Jika benar, mungkin segala watak wanita yang diwujudkan merupakan apa yang diigini oleh Kapten Abeh sendiri dan perwatakan yang lahir adalah dari pemikiran lelaki Kapten Abeh. Segalanya mungkin.

Tiada ulasan: