Jumaat, 30 Oktober 2009

REDHA


1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

  • Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
  • Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

Khamis, 29 Oktober 2009

AKU BERMIMPI MELIHAT SYURGA - ANDREA HIRATA



Sungguh, Malam ketiga Di Pangkalan Punai
Aku Bermimpi Melihat Syurga
Ternyata Syurga Tidak Megah
Hanya Sebuah Istana Kecil Di Tengah Hutan
Tidak Ada Bidadari Seperti Disebut Di Kitab-Kitab Suci

Aku Meniti Jambatan Kecil
Seorang Wanita Berjubah Jernih Menyambutku
"Inilah Syurga" Katanya
Dia Tersenyum Kerling Matanya
Mengajakku Menengadah
Seketika Aku Dikejutkan Oleh Pantulan
Sinar Matahari Senja
Menyirami Kubah-Kubah Istana
Mengapa Sinar Matahari
Berwarna Perak, Jingga Dan Biru?

Di Istana Syurga
Dahan-Dahan Pohon Ara Menjalar Ke Dalam
Kamar-Kamar Sunyi Yang Bertingkat-Tingkat
Gelas-Gelas Kristal Berdenting Dialiri Air ZamZam
Menebar Rasa Kesejukan

Bunga Petunia Ditanam Di Dalam Pot-Pot Kayu
Pot-Pot Itu Digantung Pada Bingkai-Bingkai
Jendela Tua Berwarna Biru
Di Beranda, Lampu-Lampu Kecil Disembunyikan
Di Balik Tilam, Indah Sekali
Sinarnya Memancarkan Kedamaian
Tembus Membelah Perdu-Perdu Di Halaman

Syurga Begitu Sepi
Tapi Aku Ingin tetap Di Sini
Kerana Kuingati Janjimu, Tuhan
Kalau Aku Datang Dengan Berjalan
ENGKAU Akan Menjemputku Dengan Berlari-lari


NUR QASEH

Rabu, 28 Oktober 2009

KISAH IBU YANG MENANGIS


Seorang anak laki-laki kecil bertanya kepada ibunya,

“Mengapa engkau menangis?"

"Kerana aku seorang wanita", kata sang ibu kepadanya.

"Aku tidak mengerti", kata anak itu.

Ibunya hanya memeluknya dan berkata,

"Dan kau tak akan pernah mengerti" Kemudian anak laki-laki itu bertanya kepada ayahnya,

"Mengapa ibu suka menangis tanpa alasan?"

"Semua wanita menangis tanpa alasan", hanya itu yang dapat dikatakan oleh ayahnya.

Anak laki-laki kecil itu pun lalu membesar menjadi seorang laki-laki dewasa, tetap ingin tahu mengapa wanita suka menangis. Akhirnya ia mendapat petunjuk dari Tuhan, Antara bisikan yang didengarinya adalah:

1. "Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan "

2. "Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya "

3. "Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh "

4. "Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya "

5. "Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya "

6. "Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahawa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada di sisi suaminya tanpa ragu "

7. "Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan walaupun kadangkala dia tidak memerlukannya."

Tahukah kamu: Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya. Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, karena itulah pintu hatinya – tempat dimana cinta itu ada."

KAU TATAP, KAU BACA, KAU FIKIR


Bertaqwalah Kepada Allah Kala Kau Gundah
Akan Datang Padamu Rezeki Dari Arah Tak Kau Ketahui


Bagaimana Kau Takut Dengan Kemiskinan
Sedang Allah Maha Pemberi Rezeki
Sudah Dikucurkan Rezeki Pada Ikan-Ikan
Dan Burung-Burung Di Samudera


Barang Siapa Menyangka Rezeki Itu
Datang Dengan Kekuatan
Bagaimana Burung Emprit Bisa Makan
Dan Disekitarnya Rajawali Berklebatan


Selama Kau Di Dunia
Kau Tak Akan Pernah Tahu Ketika Malam Tiba
Akankah Hidupmu Sampai Ke Pagi
Berapa Banyak Orang Yang Sihat
Tiba-Tiba Maut Menghampiri


Berapa Banyak Orang Yang Sakit-Sakit
Namun Berumur Panjang
Dan Berapa Banyak Orang-Orang Tertawa Terbahak-Bahak
Tanpa Ia Ketahui Maut Sudah Siap Menghapus Semuanya


Siapa Saja Hidup Seribu Bulan
Bahkan Seribu Tahun Pastilah
Hari-Harinya Menuju Langkah Kematian

Selasa, 27 Oktober 2009

7 Wajah Mayat di Dalam Kubur



  1. Mayat yang mukanya berpaling dari arah kiblat. Itulah petanda bahawa semasa hidupnya telah melakukan perkara syirik kepada Allah. Kawan-kawan syirik ini jangan buat main-main, dosa yang paling besar dalam Islam. Kekal dalam neraka selama-lamanya.
  2. Mayat yang mukanya berbentuk babi. Itulah petanda semasa hidupnya tidak melakukan solat lima waktu, tidak menjaga solat lima waktu. Lalai dalam solatnya. Sesungguhnya solat dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Perbuatan keji dan mungkar ini banyak, bukan hanya berduaan ditempat gelap, minum arak, berjudi sahaja. Tak tutup aurat juga perbuatan keji. Bayangkanlah sejak dari baligh lagi kawan-kawan tak pernah tutup aurat, berapa banyak dosa yang telah dikumpulkan. Siksa api neraka amat pedih oii.... Kalau kawan-kawan nak tahu bagaimana rasa 1/70 bahang (kalau tak silap) api neraka kawan-kawan cubalah cucuh hujung jari kawan-kawan dengan api, macam mana rasanya? Boleh tahan tak?
  3. Mayat yang kepala menjadi batu yang hitam legam. Itulah mayat yang semasa hidupnya derhaka kepada kedua ibu-bapa.
  4. Mayat yang perutnya buncit dan meletup. Itulah mayat yang semasa hidupnya suka makan harta yang haram. Harta yang haram banyak contohnya. Antaranya mencuri.. harta yang haram. Merompak.. harta haram. Melesapkan duit kawan.. harta yang haram.
  5. Mayat yang kukunya mencengkam dan meliliti seluruh tubuhnya. Itulah mayat yang semasa hidupnya suka berkelahi, mengata, menghina, mengkritik dan mengumpat orang.
  6. Mayat yang keluar mata air dari kuburnya dan air itu baunya lebih busuk dari bangkai. Itulah mayat orang yang suka makan riba'.
  7. Mayat yang wajahnya tersenyum Itulah mayat yang semasa hidupnya berilmu dan beramal soleh.

pentingnya nama


Nama seseorang manusia adalah tanda dan alamat untuk dirinya. Tanpa nama, seseorang insan sukar dikenali dan dipanggil. Kerana itu, apabila lahir seorang bayi, wajib bagi penjaganya memberikan satu nama kepadanya. Imam Ibn Hazm menukilkan kesepakatan ulama tentang wajib memberi nama kepada anak lelaki dan perempuan.

Dalam memberikan nama anak, jangan kita memandang remeh. Kerana, nama yang kita berikan kepada sikecil inilah yang akan menjadi label untuk dirinya sampai bila-bila. Nama inilah yang akan tercatat dalam sijil kelahirannya, kad pengenalannya, lesen memandunya, sijil-sijil akademiknya, sehingga ke sijil kematiannya.

Jika nama yang diberikan memberi maksud yang tidak baik, dia akan dikenali dengan nama itu sehingga akhir hayatnya. Bukan itu sahaja, orang yang memberikan nama juga akan menerima malu. Sebagaimana pepatah (Arab) menyebut, ‘Melalui namamu, sudah kukenal siapa ayah kamu’.

Oleh itu, sebelum memberikan suatu nama bagi anak yang lahir, wajar diperingatkan dengan beberapa perkara. Secara ringkasnya seperti berikut:

1) Nama memberi kesan kepada kehidupan seseorang. Pepatah (Arab) menyebut: ‘Bagi setiap yang empunya nama, pasti ada bahagian daripada namanya’. Hakikat ini diperakui oleh Ibnul Qayyim. Katanya: “Kebanyakan orang-orang yang hina, nama mereka munasabah dengan diri mereka. Dan kebanyakan orang-orang mulia dan tinggi, nama mereka sesuai dengan diri mereka”.

2) Waktu memilih nama. Dalam sunnah Nabi SAW, terdapat kelonggaran pada waktu memberi nama. Samada pada hari pertama, atau dalam masa tiga hari pertama, atau pada hari ketujuh. Pilihlah mana-mana yang digemari.

3) Siapakah yang berhak memberi nama? Jika kedua-dua ibu bapa bersetuju dengan satu nama, maka ia suatu yang baik. Tapi, kadangkala mereka berselisih. Dalam situasi ini, yang berhak ialah bapanya. Tapi, jika kuasa veto bapa boleh menjejaskan keharmonian keluarga, eloklah dicari nama yang dipersetujui oleh kedua-duanya. Ataupun meminta orang lain yang memberikan nama yang elok, sebagaimana sesetengah sahabat meminta Nabi SAW meletakkan nama anak-anak mereka.

4) Nama anak mesti dibinkan kepada bapanya, bukan ibunya. Demikianlah arahan Allah Taala dalam surah al-Ahzab, ayat 5 yang bermaksud, “Serulah mereka dengan nama bapa-bapa mereka”.

5) Pilihan nama yang baik. Nama yang baik ialah nama yang sebutannya elok, dan maknanya juga baik. Pepatah (Arab) menyebut, ‘Kewajipan ayah terhadap anaknya ialah: memilih baginya ibu yang baik, memberinya nama yang baik, dan mengajarnya adab yang baik’.

6) Contoh nama-nama yang digemari syarak ialah;
- Abdullah dan Abdul Rahman
- Nama yang dimulakan dengan ‘Abd’, seperti: Abdul Malik, dan Abdul Aziz.
- Nama para Nabi seperti: Muhammad, Ibrahim, dan Musa.
- Nama orang-orang soleh, seperti nama-nama sahabat.

7) Mengelak daripada memberi nama-nama yang haram. Seperti:
- Nama ‘Abd’ yang dihubungkan dengan selain Allah, kerana Abd bermaksud ‘hamba’. Maka haram memberi nama: Abdul Syams, Abdul Qamar, Abdul Nabi, Abdul Husain, dan seumpamanya.
- Nama yang khas untuk Allah sahaja, seperti: Al-Rahman, Al-Khaliq.
- Nama-nama berhala, seperti: Al-Laat, Al-Uzza, Isaaf dan Naelah.
- Nama yang menunjukkan sifat yang tidak layak bagi diri seseorang, seperti: Malikul Amlak (Raja segala raja), dan Sayyid al-Naas (Penghulu segala manusia).
- Nama-nama Syaitan, seperti: Al-Walhan, Al-A’war, dan Al-Ajda’.

8) Seboleh-bolehnya hendaklah menjauhi nama-nama yang makruh. Antaranya:
- Nama yang memberi maksud suatu yang kurang disenangi, seperti: Al-Harb (Peperangan), Fadhih (Yang membuka aib), Suham (sejenis penyakit unta).
- Nama-nama yang memberi makna yang merangsang nafsu, contohnya: Fatin فاتن (Penggoda).
- Nama-nama yang membawa maksud dosa dan maksiat, contohnya: Sariq (Pencuri).
- Nama-nama seperti: Firaun, Qarun dan Haman.
- Nama-nama haiwan yang terkenal dengan sifat dan perumpamaan yang tidak elok, contohnya: Himar (Keldai), dan Al-Kalb (Anjing).
- Nama-nama yang digabungkan dengan perkataan ‘Al-Din’ (Agama) dan ‘Al-Islam’, seperti: Dhiyauddin, Saiful Islam, Nurul Islam, dan seumpamanya. Tujuannya untuk memelihara kedua-dua nama ini (Al-Din dan Islam) daripada menjadi nama individu yang tidak layak.
- Nama-nama yang digabungkan daripada dua nama. Kerana para salaf dahulu tidak memberi nama melainkan satu perkataan sahaja. Pada zaman-zaman terkemudian, timbul nama-nama gabungan, seperti: Muhammad Ali, Ahmad Yunus dan lain-lain.

9) Menukar kepada nama yang baik. Jika ditakdirkan seseorang diberikan nama yang tidak menepati kehendak syarak, contohnya nama yang diharamkan, maka penyelesaiannya ialah dengan menukar nama. Dalam hadis disebut bahawa Rasulullah SAW menukar nama yang buruk kepada nama yang baik. Direkod oleh Tirmizi.

Kesimpulan, pilihlah nama yang cantik dan bertepatan dengan syarak. Jangan hanya melihat kepada sebutan yang menarik dan glamour.

Isnin, 26 Oktober 2009

menghasilkan karya yang baik

permulaan langkah
  • kenal pasti khalayak sasaran (UMUM)
  • melampas otak(brainstorm) dan mencetuskan idea
  • melakukan penyelidikan
  • menentukan strategi, mendirikan rangka, menyasarkan matlamat
  • memastikan karya menepati kehendak penerbitan dan pasaran-- memiliki komposisi agama dalam sesebuah karya--namun masih menerapkan pelbagai emosi seperti sedih, komedi dan sbgnya
  • membuat jadual dan memperuntukkan masa untuk melaksanakannya
mula menulis--perkara yang paling penting dalam karya ialah isinya (yang mampu menangkap hati pembaca):
  • strukrur
  • muatan
  • enjin
  1. struktur
  • bahasa--usah ragu dan terlalu memikirkan tahap keampuhan bahasa yang dimiliki. namun jangan terlalu ghairah dengan bahasa yang terlalu tinggi dan sukar difahami oleh pembaca umum.
  • plot-- (jalinan peristiwa berasaskan sebab dan akibat-- dikembangkan dengan hakikat/prinsip agama dalam kaitannya terhadap kehidupan manusia serta dampaknya, sama ada yang telah dibuktikan secara teori ataupun masih bersifat spekulatif)
  • latar masa/tempat--lalu, kini, masa depan/ real, fiktif
  • watak & perwatakan
  • tema
  • teknik penulisan/strategi naratif
2. ISI
  • memperlihatkan nilai eksploratif dalam pemilihan subjek (dengan sendirinya menolak yang stereotaip dan klise; memperlihatkan kesegaran)
  • memperlihatkan keseriusan (fakta, garapan dan saranan yang dapat dipertanggungjawabkan)
  • memperlihatkan idealisme penulis
  • mempamerkan nilai budaya
3. imaginasi/idelisme
  • imaginasi merupakan roh atau nyawa kepada karya yang ingin dihasilkan(kehilangan roh atau nyawa sudah tentu menandakan kematian--writers block)--tanpa imaginasi sudah tentu karya tidak dapat diteruskan.
  • sejak dari peringkat awal--idea yang ingin disampaikan harus jelas
  • jelas akan tujuan menulis--cuba mengubah, mengkritik, menyarankan sesuatu dalam masyarakat.
  • ketahuilah bahawa sesebuah karya menjadi gagagh dan besar kerana idologi--memiliki upaya berbicara dalam karya dan penulis mempunyai upaya merentas zaman--tetap hidup walau sudah ratusan tahun.
MEMENANGI HATI PEMBACA

di permulaan cerita
  • pandang pertama(First impression)--daya tarik, memikat, mengikat pembacaan
  • terus menguja daya ingin tahu pembaca
kemuncak
menimbulkan nikmat pembaca
  • isu releven (masalah yang menimpa masyarakat/kehidupan manusia dan sasaran mendepaninya)
  • subjek segar
  • bertenaga, utuh, fokus--plot/subplot berkembang dengan kemas dan terkawal walaupun memperlihatkan komplesiti;watak tidak hadir dan pergi begitu sahaja(apalagi jika terlalu ramai)
terus menulis
  • subjek digarap dengan serius
  • wujud cabaran untuk menterjemahkan isyarat, amanat yang dikirim dalam karya
  • elemen-elemen struktur(bahasa, plot,watak, teknik dll) semakin dinikmati/menyakinkan kerana hanya struktur yang tegap dapat menampung muatan yang sarat )
peringkat akhir
sebelum menghantar karya penulis perlu:
  • memeriksa dari luar(makro)sepintas lalu
  • memeriksa dari dalam(mikro)teliti
  • memeriksa dari kaca mata khalayak
  1. periksa plot
  2. periksa watak
  3. periksa bahasa (ejaan)
  4. pemerengganan
akhir kata...karya yang baik akan muncul dari imaginasi yang cemerlang. kita semua mampu menulis..namun tidak semua mampu berkarya denga baik...anda yang memegang pena...andalah yang memilih tulisan dan warnanya.


SELAMAT BERKARYA

Pesanan Dari Alam Barzakh



Diceritakan bahawa ada seorang perempuan ahli ibadah yang sudah mencapai tingkat tinggi. Entah siapa nama sebenar, tapi orang ramai biasa memanggilnya Bahiyah. Dia sangat istiqamah dan rajin mengerjakan ibadah sama ada yang sunat apalagi yang wajib. Setiap hari sentiasa duduk di tikar sembahyangnya menuggu waktu solat sambil berzikir, membaca Al-Quran ataupun solat sunat.
Apabila merasa ajalnya hampir tiba, dia mengangkat tangannya ke langit dan berdoa: “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku yang selalu aku kenang! Wahai Tuhan tempatku mengadu! Wahai Tuhan tempatku berpegang di kala hidupku dan dikala matiku! Janganlah Engkau hinaku di saat-saat kematian, dan jangan pula Engkau takutkan aku di dalam kuburku!”
Doa yang selalu diucapkannya penuh khusyuk dan sungguh-sungguh. Tiada berapa lama selepas itu dia pun wafat, meninggalkan dunia yang fana ini menjumpai Tuhan tempatnya berpegang. Anak lelakinya tergolong anak yang soleh. Dia sentiasa berziarah dan mendoakan ibunya yang telah berada di alam baqa’. Setiap malam dan hari jumaat anak yang soleh itu pergi ke kubur ibunya dan membacakan ayat-ayat suci Al-Quran, kemudian berdoa memintakan ampun untuk ibunya dan kaum muslimin yang lain.
Pada suatu malam, si anak bermimpi berjumpa dengan ibunya yang telah meninggal itu. “Wahai ibu! Bagaimana keadaanmu?” tanya si anak setelah memberi salam.

“Wahai anakku! Ketahuilah sesungguhnya mati itu merupakan suatu dugaan, kedukaan, dan kesengsaraan yang amat dahsyat. Alhamdulillah, keadaanku di alam barzakh dalam keadaan baik. Dibentangkan permaidani yang sangat wangi untukku. Ia dibuat daripada sundus dan istabarak. Hal ini berterusan sehingga hari kiamat."
“Wahai ibuku! Adakah sesuatu pesanan untukku?” tanya anak yang bermimpi. Ibunya menjawab bahawa dia mengharapkan agar anaknya tetap meneruskan amalan yang telah dilakukannya selama ini, yakni berziarah ke kuburnya, membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan berdoa untuknya. Katanya, kunjungan anaknya setiap malam dan hari Jumaat ke kuburnya sangat menyenangkan.

Sebaik saja anaknya datang, akan terdengar suara memanggil: “Wahai Bahiyah! Ini anakmu datang. Berbahagialah engkau dengan kedatangannya itu!” Katanya pula, bukan saja dirinya yang berbahagia, tapi ahli-ahli kubur lain yang berjiran dengannya juga ikut gembira dan menerima manfaat. Mimpi anak soleh itu terhenti sampai di situ kerana dia terjaga dari tidurnya. Selepas bermimipi demikian, dia tetap meneruskan amalannya, yakni berziarah kubur pada malam dan hari Jumaat sambil membaca Al-Quran dan berdoa untuk ahli kubur.

Pada suatu malam, dia bermimpi lagi. Dalam mimpinya itu, dia melihat sekumpulan manusia ahli kubur dalam jumlah yang ramai datang menghampirinya. “Siapa kalian ini? Dan apa pula hajatmu datang ke sini?” tanya anak soleh.

“Kami adalah ahli-ahli kubur, datang untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepadamu. Kami minta agar engkau tidak putus-putus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan berdoa untuk para ahli kubur.” jawab mereka. Sejak itu, anak soleh itu bertambah rajin lagi berziarah kubur setiap malam dan hari Jumaat, dan dia membacakan ayat-ayat Al-Quran dan berdoa untuk ahli kubur sekadar yang dia mampu. Radiallahu anhum.

* Semoga kisah wali Allah ini menjadi pedoman untuk kita. Bagi yang ibubapanya sudah kembali ke rahmatullah, sama-samalah berdoa untuk mereka. Tidak lupa juga kepada para ahli kubur yang lain. Bagi yang ibubapanya masih berada di sisi, berdoalah keampunan dan kesejahteraan hidup untuk mereka dan tidak lupa juga kepada muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup ataupun meninggal dunia*

Wallahua’lam...

Ahad, 25 Oktober 2009

Tanda-

TANDA-TANDA KEMATIAN UNTUK ORANG ISLAM

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan wujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini.

Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.

Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk engkafankan bahagian mukanya.


Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.


Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :


Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.

Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.

Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

PENUTUP

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semuga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.

Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.

Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat.

Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

WALLAHUA`LAM

Rabu, 21 Oktober 2009

JEBAT SUDAH KEMBALI


 Jebat sudah kembali
Katanya kembali membela
Yang tidak terbela
Menuntut keadilan dari ketidakadilan
Mencari kebenaran dari kepalsuan

Jebat sudah kembali
Walau sudah dibunuh tuah
Jebat kini lebih hebat
Sanggup jadi penderhaka raja
Demi maruah keluarga
Sanggup jadi pengkianat bangsa
Demi kuasa yang tiada
Sanggup jadi peragut ibunda
Demi harta dunia…

Benarkah jebat jadi mulia?
Menuntut keadilan atau
Hanya ingin menuntut kuasa?
Sanggup menggadai maruah ibunda
Menjadi pertualang bangsa.
Kerana tuah sudah tiada
Jebat kini kembali berkuasa.

Selasa, 20 Oktober 2009

wasiat Imam Syafie

Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya.

Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: “Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

1: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan
percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan
kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat
persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

3 : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing
merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan
membantu orang yang dizalimi.

4: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan
nasihat menasihati.

5 : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan
sanggup menanggung kesusahan.

6: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI
AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka
membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada
ibubapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan
memperelok akhlak.

8: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala,
bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

9: HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat,
bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan
bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

10: HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari
kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

PAKU DINDING HATIMU

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.

“Untuk apakah paku-paku ini ayah?” tanya pemuda tersebut.

“Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu” jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut.

Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekalipun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut.

Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya. Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata,

“Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kisah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatanmu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal. Sahabat adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakan mu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita”.
~Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda.~

Ahad, 18 Oktober 2009

ingin menulis

Syarikat penerbitan Synergymate Sdn Bhd melancarkan produk baru berbentuk fiksyen. Ia berkonsepkan novel yang berunsurkan Islam. Synergymate sedang mencari penulis yang berkobolehan dalam menghasilkan novel berbentuk islam. Antara ciri-ciri novel ini adalah :
1. Isu semasa Islam, Perjuangan berfikrah, Perbandingan Agama dan apa saja cadangan yang wajar dengan konsep ini
2. Kupasan setiap isu diberikan penelitian daripada sudut pandangan Islam
3. Gaya persembahan moden & Islami
4. Watak atau persembahan karya yang dihasilkan mempunyai unsur dakwah iaitu mampu memberi ilmu dan pengajaran kepada pembaca
5. Hasil daripada pembacaan karya, pembaca dapat menilai dan mengambil ilmu dan pengajaran untuk dimasukkan dalam kehidupan seharian.
6. Karya yang dihasilkan tidaklah terlalu serius dan membuatkan pembaca bosan. Penulis boleh menyelitkan pelbagai unsur untuk mencantikkan karya. Contohnya penulis boleh menyelitkan unsur humor, tragis, sedih, dan pelbagai unsur yang mampu menarik minat pembaca.
7. Penulis haruslah menetapkan objektif dalam karya yang dihasilkan. Objektif yang khusus dapat membantu pihak penerbitan dalam menilai karya.
8. Penulis harus memastikan di akhir penulisannya kelak, wujud ilmu dan manfaat yang mampu dicedok oleh pembaca untuk dicurahkan dalam kehidupan mereka seharian.
9. Penulis juga boleh memasukkan ayat-ayat suci Al-Quran atau sirah (jika mahu dan mampu) dan ini adalah digalakkan.
Karya yang Asli
* tidak ciplak daripada mana-mana terbitan, atau apa juga yang bukan hasil kerja anda;
* tidak diterjemahkan daripada mana-mana buku dan mana-mana bahasa;
* tidak disadur daripada mana-mana sumber atau terbitan lain;
* tidak merupakan bahan yang ditakrifkan sebagai bahan sekunder yang boleh diertikan sebagai mendominasi karya anda; dan
* atau apa-apa juga bentuk yang meragukan keaslian karya anda

Perihal Manuskrip
* Ketebalan halaman ~ untuk novel umum jumlah halaman ialah antara 430–530
* Dicetak langkau dua baris di atas kertas A4 warna putih pada sebelah halaman sahaja (double spacing)
* Sila cetakkan nombor pada setiap halaman
* Format untuk letak atur:
(a) Gunakan saiz huruf (font) 12, jenis Arial
(b) Page set-up: Left=0”, Right=0”. First line, 0.3”
(c) Selang antara satu bab ke satu bab ialah LIMA kali enter
(d) Selang antara satu perenggan baru (cerita atau latar baru, tetapi masih dalam bab yang sama) ditandakan dengan simbol contoh: * * *


Kepada sesiapa yang berminat berkarya dengan Synergymate Sdn Bhd ataupun ingin membuat pertanyaan. Hantarkan maklum balas anda kepada :
SYNERGYMATE SDN. BHD.
5A, JALAN 1/5, SYEKSEN 1,
BANDAR TEKNOLOGI KAJANG,
43500 SEMENYIH SELANGOR
TEL: 03-87235830 samb kpd Roziyah /Faiizah
FAKS: 03-87235734

Atau berhubung dengan editor projek:
Roziyah binti mahamad jusob (0132969170)
Faiizah bt lood (0193119946)
damya_ogy@yahoo.com.my

PEMBACA NOVEL KINI MEMPUNYAI CITARASA TERSENDIRI

Setiap kali masuk ke kedai buku bahagian novel kreatif, mata akan dihidangkan dengan longgokan tajuk novel yang dikira klise dan berbunga-bunga. Tetapi tidak semua novel yang mempunyai tajuk sedemikian. Novel yang berterasan keagamaan juga sudah mula menampakkan kekuatan mereka yang tersendiri. Kalau dulu, sangat sukar untuk mencari novel yang berunsur mendidik melainkan novel yang berterusan membuai pesona manusia yang tidak berpenghujung. Sesekali terdengar rungutan daripada pembeli di kedai yang menyatakan kebosanan mereka kerana sering dihidangkan dengan kisah cinta yang kadang kala difikirkan kurang logik berlaku dikalangan manusia biasa.

Kini, Pembaca perlu mempunyai citarasa untuk memastikan novel yang mereka beli itu memberikan faedah atau timbal balik. Wang yang dikeluarkan oleh pembaca sekurang-kurangya tidak menjadi sia-sia. Pilihlah bahan bacaan terutama novel yang mempunyai unsur mendidik dan memberikan ruang untuk pembaca berfikir dengan lebih luas. Bagi manusia yang bernama 'Penulis', cubalah meneroka sesuatu yang baru dan janganlah terikat kepada tajuk, jalan cerita dan tema yang sudah melambak dipasaran.

Pembaca perlu bijak memilih dan Penulis perlu berani meneroka ilmu baru dan diadaptasi dalam bentuk penulisan. Biar kita sama-sama mendapat faedah, bukan sahaja kepuasan membeli dan memiliki tetapi kepuasan membaca dan ilmu yang ada didalam novel tersebut.

pernikahan di lubuk antu -- dunia wanita dari persepsi penulis lelaki

Pernikahan di Lubuk Hantu merupakan karya Profesor Rahman Shaari. Karya ini cuba membawa pembaca mengenai pernikahan rahsia di sebuah kawasan bernama Lubuk Hantu. Di sinilah pertemuan jodoh antara Dayang Tuxis dengan Kapten Abeh dan Siti Ofisa bersama laksamana.

Pembaca akan mula berfikir sejenak tentang karya yang dihasilkan. Adakah segala yang wujud dalam karya ini hanya mainan skrip yang ditulis oleh Kapten Abeh dan dilakonkan dalam minda Rini yang membaca skrip tersebut. Namun dapat juga ditafsirkan bahawa segala yang dibentangkan dalam skrip adalah benar belaka dan diadaptasi dalam skrip hasil wacana yang wujud dalam diri Kapten Abeh. Segalanya dapat ditafsir oleh pembaca itu sendiri.
Watak Siti Ofisa dan Dayang Tuxis benar-benar mencuri tumpuan pembaca. Watak yang diwujudkan walaupun sama-sama wanita namun masih terdapat perbezaan yang boleh dibentangkan. Walaupun kelihatan watak yang dicipta dalam minda pengarang adalah lebih kurang serupa, namun masih wujud perbezaan yang boleh difikirkan oleh pembaca.
Dicelahan perbezaan yang diwujudkan masih terselit persamaan dari kedua-dua watak ini. Mereka sama-sama ke Lubuk Hantu menjalankan pernikahan secara rahsia dan mereka sama-sama menjadi isteri rahsia kepada lelaki-lelaki yang menginginkan mereka secara rahsia.





PERBANDINGAN PERWATAKAN SITI OFISA DAN DAYANG TUXIS


SITI OFISA
Siti Ofisa merupakan seorang wanita dari Kuala Bayu. Beliau merupakan seorang penyanyi nasyid di Kuala Bayu. Dia juga merupakan juara pidato Kuala Bayu. Kumpulan Nasyidnya dianggap terbaik di seluruh Sabah. Dia merupakan juara pidato. Hal ini bermakna Siti Ofisa bijak dalam berpidato. Siti Ofisa juga dilukiskan sebagai seorang yang rajin mentelaah ilmu pengetahuan

“Siti Ofisa telah agak lama mengumpul pelbagai maklumat daripada pelbagai cabang ilmu. Dia memperolehnya hasil pembacaan dan diskusi.
(Rahman Shaari: 172, 2008)

Petikan diatas jelas menunjukkan bahawa Siti ofisa merupakan seorang yang rajin dan suka kepada sesuatu yang bersifat keilmuan. Dia juga dilukiskan sebagai seorang guru agama. Hal ini menunjukkan Siti Ofisa mempunyai ilmu pengetahuan agama yang tinggi sehingga mampu menjadi seorang guru agama ditempatnya.
Dari sudut lakonan pula, Siti Ofisa merupakan seorang pelakon yang berkebolehan. Pada peringkat awalnya, dia telah bergiat aktif dalam bidang lakonan. Selepas bertemu dengan laksamana, dia telah memperkukuhkan lagi bakat lakonannya sehingga dia merasakan dia lebih hebat dalam bidang lakonan berbanding laksamana sendiri.
Siti Ofisa boleh dikatakan seorang gadis yang bijak. Bijak dalam mengelak. Siti Ofisa bijak mengelak pelawaan kamel Do yang boleh dikatakan ‘mengiginkannya’. Dia sebagai seorang wanita yang berani kerana melayan kerenah Kamel Do. Namun, perwatakan Siti Ofisa boleh dikatakan berbeza dengan dirinya yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. Dari gaya percakapan dan dialog yang digunakan lebih berani.
Walaupun dia sendiri tidak selesa dengan kamel Do, namun dia mampu melayan kerenah Kamel Do yang dianggap keterlaluan. Dalam gurauan, Siti Ofisa mampu mengelak pelawaan Kamel Do untuk bermalam atau tidur sejam dua di homestaynya. Siti Ofisa dengan kebijaksanaannya mungkin telah dapat mengesan sesuatu yang aneh terhadap Kamel Do, tetapi tidak dipertontonkan kepada Kamel Do dengan jelas dan nyata.
Sesudah bernikah dengan Laksamana, Siti Ofisa bijak memainkan lakonannya. Walaupun dia sudah mengandung dia masih mahu menyembunyikan identiti bapa kepada si kecil dalam perutnya. Bahkan abangnya sendiri juga tidak dikhabarkan dengan jelas. Dia hanya memberitahu dia sudah berkahwin.
Siti Ofisa berpegang dengan perkara yang dijanjikan sejak mereka bernikah. Rahsia tetap menjadi rahsia. Walaupun berada di rumah isteri pertama laksamana iaitu Julia. Dia langsung tidak memberitahu Julia identiti suaminya. Malahan dia telah berbohong bahawa suaminya adalah pendatang yang telah melarikan diri.
Siti Ofisa sebagai seorang wanita sanggup mempertaruhkan kehidupannya demi seorang lelaki bernama Laksamana. Dia rela berhadapan dengan masyarakat tanpa mendedahkan rahsia yang disembunyikannya. Biar sampai bila-bila juga. Siti Ofisa digambarkan sebagai seorang wanita yang tidak mempedulikan pandangan masyarakat. Ketika dia mengandung, dia langsung tidak mempedulikan pandangan masyarakat yang menganggapnya mengandungkan anak luar nikah. Perkara yang penting baginya, dia sudah memberitahu kepada masyarakat yang dia sudah berkahwin.
Dari sudut pemikiran yang dibawa Siti Ofisa terlalu rendah. Dia dilukiskan hanya mementingkan nafsu apabila berkahwin dengan laksamana. Dia sebagai seorang wanita langsung tidak memikirkan kehidupannya di masa hadapan apabila sanggup menikahi laksamana secara rahsia buat selama-lamanya. Dia langsung tidak memikirkan keburukannya apabila berkahwin secara rahsia dengan laksamana.
Siti Ofisa walaupun pernah menjadi johan pidato mengenai emansipasi wanita lansung tidak mempraktikkannya dalam kehidupnya. Dia sebagai seorang wanita sanggup meletakkan dirinya sebagai mangsa kepada lelaki yang berkendakannya. Jika ditenung dan difikirkan dari sudut wanita dan keadilan (bukan dari sudut lelaki) perkahwinan rahsia tidak kira berlaku di mana hanya akan mendatangkan kemudaratan— kepada idividu, keluarga dan keturunannya nanti. Hal itu yang tidak pernah difikirkan oleh Siti Ofisa yang boleh dianggap sebagai bijak dan berwawasan.
Seharusnya sebagai seorang wanita yang di lukiskan sebagai wanita yang berwawasan dan mempunyai ilmu yang tinggi, tentu terlintas difikirannya akibat hukum yang akan diterima akibat dari perkahwinan yang dirahsiakannya itu.
Dari sudut kewanitaannya pula, dia langsung tidak meluahkan ketidakselesaan berkahwin secara rahsia—untuk selama-lamanya—dalam dirinya. Dia tidak langsung dilukiskan sebagai wanita yang sekurang-kurangnya risau tentang perkahwinan yang dilaluinya. Tanpa memikirkan baik buruk perkawinan yang bakal dilaluinya, dia bersetuju dengan perkahwinan yang dirancang itu.
“Aku ini sama seperti Dayang Tuxis, tiada pendidikan formal di peringkat universiti. Seperti Dayang Tuxis, ini tidak jadi halangan untuk aku muncul di hadapan khalayak intelektual.” Demikian Siti Ofisa berfikir.
(Rahman Shaari: 172 :2008)

Siti Ofisa dalam keadaan hamil cuba membuktikan dirinya standing dengan Dayang tuxis. Dia berfikir jika Dayang Tuxis dapat bercakap dikhalayak ramai, maka dia juga boleh. Persoalannya, mungkinkah timbul rasa cemburu Siti Ofisa terhadap Dayang Tuxis yang ‘seangkatan’ dengannya? Atau mungkinkah Dayang Tuxis telah menjadi rangsangan kepada Siti Ofisa untuk muncul di khalayak ramai dengan ilmu dan pembacaan yang dipegangnya? Itu mungkin hanya dapat dijawab oleh pembaca sendiri.
Disini telah wujud Anjakan Makna dimana pembaca boleh berfikir yang Siti Ofisa cemburu akan sahabatnya itu atau ingin menganggat sahabatnya menjadi role model agar dapat merangsang kejayaan dirinya kelak.
Siti Ofisa yang ditenung dari sudut positifnya mempunyai cita-cita yang tinggi dan berwawasan dalam hidupnya. Dia cuba untuk menjadi seperti Dayang Tuxis. Dia yakin dari kebolehan serta pengalamannya, dia mampu muncul di khalayak ramai. Siti Ofisa yakin yang dia mampu member ceramah dalam khalayak yang besar sehebat penceramah lain termasuklah Dayang Tuxis.
Siti Ofisa tidak gentar dalam menyuarakan pendapatnya dihadapan khalayak ramai. Hal ini dapat dilihat apabila pujian yang diterimanya apabila selesai ceramahnya yang menjadi isu hangat dalam majlis itu.


DAYANG TUXIS
Perwatakan Dayang Tuxis juga boleh dikatakan berbeza dengan Siti Ofisa. Dayang Tuxis lebih bersifat lemah lembut dan pemalu berbanding dengan sifat siti ofisa. Dia agak pemalu untuk membincangkan hal yang boleh dianggap sebagai hal ‘suami isteri’. Contohnya apabila mendengar perbualan antara Siti Ofisa bersama laksamana, dia sendiri berasa malu dan dia sukar untuk mengeluarkan kata-kata yang diucapkan oleh Siti Ofisa kepada laksamana tanpa wujud perasaan segan dan silu terhadap Dayang Tuxis dan Kapten Abeh yang ada bersama-sama dengan mereka.
Dia juga agak takut apabila ingin dipertemukan dengan Kamel Do. Apabila mendengar daripada Siti Ofisa mengenai keburukan yang wujud dalam diri Kamel Do, dia menjadi gerun untuk bertentang mata dengan Kamel do. Takut perkara yang berlaku pada Siti Ofisa terjadi pada dirinya pula. Jika dilihat, Siti Ofisa berani bersemuka dengan Kamel Do walaupun telah merasai kelainan apabila berbicara dengan Kamel Do melalui telefon.
Pemikiran Dayang Tuxis boleh dianggap terarah kepada aliran feminisme. Tajuk ceramah yang dibentangkan sahaja sudah cukup membuktikan yang dia bersifat feminisme. ‘Wanita di Mata Manusia’ merupakan tajuk perbentangannya. Bertitik tolak dari ceramah yang diberikan, dapat ditafsirkan bahawa dia merupakan pejuang wanita yang benari. Dia berani bercakap mengenai penindasan dan subordinasi ke atas wanita kini.
Perkara lain yang dapat dilihat adalah Dayang Tuxis sebagai seorang wanita tidak mahukan anak dalam perkahwinannya. Satu lagi persoalan yang mungkin dapat difikirkan, adakah Dayang Tuxis benar-benar tidak mahukan anak atau telah terikat dengan perjanjian yang dimaterai dengan Kapten Abeh sebelum perkahwinan rahsia mereka. Namun dia sebagai seorang wanita mampu berfikir sejenak mengenai masa depannya kelak jika dia mempunyai anak hasil perkahwinan rahsianya itu. Tidak seperti Siti Ofisa yang lansung tidak memikirkan bahana yang mendatang apabila dia mengandungkan anak hasil perkahwinannya. Kemungkinan pengaruh feminis yang dianutinya menyebabkan dia tidak mahukan anak.
“jika kita hanya melihat wanita sebagai objek seks, dan sebagai kilang untuk mengeluarkan anak, kita hanya berkisar di tahap lama. Kini, wanita yang sedar sudah mendefinasikan diri jauh meninggalkan tahap itu. Wanita ialah presiden. Wanita ialah Perdana Menteri. Wanita ialah Setiausaha Negara. Wanita ialah Gabenor Bank Negara. Wanita ialah Naib Canselor. Kita lihat wanita sebagai tenaga-tenaga yang hebat, bukan sekadar isteri yang mengharapkan suami jujur.”
(Rahman Shaari : 161, 2008)
Diakui Dayang Tuxis telah mempunyai kesedaran tentang hak-hak dan kebebasan wanita. Namun, dia tidak pernah mengaplisiasikan pengetahuannya dalam kehidupannya. Dia sebagai seorang isteri sanggup menjadi isteri rahsia kepada seorang lelaki yang penakut (kerana takut memberitahu isteri pertama yang dia telah berkahwin lagi ) walhal dia sedar wanita berhak mendapat hak-hak yang bersih sebagai seorang isteri.
Seharusnya dia sebagai wanita feminis sedar bahawa isteri pertama juga harus diberi hak untuk mengetahui perkahwinan itu dan dia juga harus diberi hak untuk diakui sebagai seorang isteri kepada umum. Dayang Tuxis seolah-olah bukannya menjadi feminis tetapi telah mewujudkan maskuliniti dalam ucapan dan perbahasannya. Pemikirannya jelas memberikan pembelaan kepada kaum penindas. Persoalannya adakah Dayang Tuxis ini benar feminis yang sebenarnya. Itu yang harus difikirkan sejenak.
Kesedaran telah timbul dalam diri Dayang Tuxis sebagai orang pengajian. Dia sedar kebolehan yang wujud dalam diri wanita. Berbanding Siti Ofisa yang memang mahukan anak dalam hidupnya sebagai pelengkap naluri wanita menjadi sorang ibu. Kehamilan dianggap sebagai keinginan semua wanita. Namun, Dayang Tuxis menggangap wujud perkara yang lebih penting selain melahirkan anak.
Hakikatnya, Dayang Tuxis sebenarnya menginginkan anak, sama seperti wanita lain. Cuma dia tidak seperti Siti Ofisa yang berani bermain dengan masa depan sendiri. Baginya mempunyai anak tidak menjanjikan kebahagiaan duniawi. Pada pendapatnya akan timbul banyak masalah dan kemungkinan apabila anaknya dewasa kelak. Itu apa yang digambarkan secara tersurat. Namun, kita dapat membuat tafsiran bahawa Dayang Tuxis sebenarnya sememangnya menginginkan anak dalam hidupnya. selaras dengan nalurinya sebagai seorang wanita yang bersifat keibuan. Hal ini dapat dibuktikan apabila Dayang Tuxis telah memberitahu jurujual di sebuah kedai emas bahawa dia sudah mempunyai dua orang anak.
Apabila ditanya oleh Kepten Abeh mengapa dia menipu, Dayang Tuxis menjawab dia tersilap. Sebenarnya dia telah memberi makna tersurat kepada Kapten Abeh bahawa dia terlalu menginginkan anak. Perjanjian yang pernah diikat menghalangnya daripada memiliki anak. Oleh itu dia menjadikan pegangan feminis yang dipegang sebagai alasan untuk tidak melahirkan anak.
Konsep ‘patuh’ dipegang kuat oleh Dayang Tuxis dalam perkahwinannya juga menyebabkan dia tidak boleh melahirkan anak. Dia sebagai wanita terpaksa patuh kepada permintaan Kapten Abeh yang tidak mahukan anak dalam perkahwinan mereka. Sebagai seorang isteri yang patuh kepada suaminya, Dayang Tuxis terpaksa menurut kehendak perjanjian yang mereka tidak mahukan kewujudan anak dalam perkahwinan mereka.
Pada penghujung cerita, Dayang Tuxis meminta kebenaran dari Kapten Abeh untuk menjaga si kecil, anak Siti Ofisa. Kemahuan hatinya yang meluap-luap inginkan anak dapat dilihat dari sudut ini. Dia bersungguh-sungguh menjaga anak yang bukan anaknya. Dia mahu mengambil anak itu dari ibu angkatnya Julia.
Berbeza benar sikap Dayang Tuxis dan Siti Ofisa. Siti Ofisa tanpa alasan yang munasabah sanggup menyerahkan anaknya kepada orang lain. Tidak dinafikan, yang diberi anaknya untuk dipelihara adalah suaminya sendiri dan madunya juga (ibu tiri si kecil). Namun dia sebagai seorang ibu—tambahan pula mempunyai pendidikan agama yang tinggi—tidak mahu menjaga anak dari darah dagingnya sendiri.
Hakikatnya, Dayang Tuxislah yang mempunyai sifat keibuan yang tinggi. Naluri untuk mendapatkan anak amat tebal dalam dirinya sehingga dia sanggup mengambil anak Siti Ofisa untuk menjadi anaknya.





KESIMPULAN
Terlalu banyak perbezaan dalam diri watak yang diukir oleh penulis. Namun yang lebih banyak lagi adalah kecelaruan ‘kewanitaan’ yang menebal dalam diri watak. Perwatakan Dayang Tuxis dan Siti Ofisa bagai bukan diri yang ada pada wanita.
Sekali imbas dapat diperhati dan diteliti seperti mereka menyokong perlakuan lelaki. Mereka seolahnya menyebelahi tindakan dan tingkahlaku lelaki. Tidak mustahil bagi perwatakan lelaki yang menyokong perlakuan (tingkahlaku buruk di mata wanita) lelaki kerana mereka juga lelaki. Namun, agak janggal bagi wanita yang sebenar-benarnya wanita menyokong ini semua. Contohnya, segala isi ceramah Dayang Tuxis dilihat lebih memihak kepada kelelakian.
Persoalan yang mungkin timbul apabila ahli-ahli feminis mentelaah karya ini, adakah Dayang Tuxis benar-benar feminis ataupun telah terpengaruh dengan maskuliniti ciptaan Kapten abeh untuk dirinya. Bagi Siti Ofisa pula hanya menerima segalanya dengan hati yang terbuka tanpa wujud perasaan gundah-gulana seperti yang dialami oleh wanita-wanita lain yang seangkatan dengannya.
Akhir sekali, mungkin karya Pernikahan Dilubuk Hantu merupakan ciptaan skrip dari Kapten Abeh untuk teaternya. Jika benar, mungkin segala watak wanita yang diwujudkan merupakan apa yang diigini oleh Kapten Abeh sendiri dan perwatakan yang lahir adalah dari pemikiran lelaki Kapten Abeh. Segalanya mungkin.