Isnin, 9 November 2009
JANGAN TAKUT UNTUK BERMIMPI
Jumaat, 6 November 2009
MEKAH: CINTAKU YANG TIDAK PERNAH PUTUS
Ya ALLAH,
Ketika aku mencelikkan dua mataku dengan melihat
Baitul HaramTidak aku sedari apakah kakiku
yang lebih dahulu sampai atau jiwaku
Tidak aku tahu apakah kegembiraan
yang terzahir di wajahku atau pun tangisan,
Melihatkan Albaitu al-Mu3azzam; baitulLAH itu,
Ya ROBBI,
Di belakang Maqam Ibrahim aku telah bersembahyang
Di dalam Hajar Isma’il aku telah sujud,
di lantai itu aku cecahkan hidungku..
Ya ILAHI,
Dengan tanganku kusentuh Hajarul Aswad
Pada sebutir batu daripada batu-batu Syurga.
Dengan dua mataku, aku telah lihat sebutir batu
daripada batu-batu Syurga,
Dengan dua mataku, aku telah melihat sebutir permata
yaqut daripada permata-permata delima Syurga..
Dua bibirku telah kukucup hajarul Aswad…
Dadaku telah aku sentuhkan (dapatkan) kepada multazam..
Ya RAHMAN,
Daripada sebaik air di dunia telah aku minum sehingga puas,
Di atas bukit Shofa aku telah berhenti..
Daripada sebaik tempat di dunia…?!
Ya RAHIM,
Mula hati-hati aku telah meletakkan mukaku
di tempat An Nabiyyul Kareem telah meletakkan
dua tapak kakinya yang mulia…?!
Atau aku telah meletakkan mukaku di tempat gugur air matanya
ketika baginda s.a.w. sujud di sisi ka’bah..?!
Ya FATTAH,
Sungguhnya apa yang disaksikan atau dilihat
dan di tempat berhenti atau berdiri
tidak akan saya lupakan selagi ada hayat itu..
Ya ROBBIL '
Aalamiin,Cintaku kepada Mekah-MU tidak akan putus,
Kemuliaanku kepada Mekah-MU
sentiasa berterusan
selagi ruuh tidak sampai kepada halkum..
(tidak keluar daripada halkum)
Mekah, sebuah nama yang ia di hatiku
Namun,
pastinya AKU menaruh SEUTAMA Cintapada-MU,
pemilik mutlak Albaitu al-Mu3azzam
di Makkatul Mukarramah yang kumaksudkan itu.
WalLAHU 'alam bishowab..
AlhamdulilLAH, syukran lilLAHI Ta'ala..
NUR QASEH
Khamis, 5 November 2009
NILAI AIR DI MATA
Bersama Mohd Zawawi Yusoh
PERNAHKAH anda menangis?
Jika menangis, apakah punca dan sebabnya?
Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri.
Allah yang menciptakan ketawa dan tangis, malah menciptakan sebab tercetusnya tangisan.
Banyak air mata mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi.
Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti! Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini.
Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:
Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka.
Ini disahkan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis, Rasulullah bersabda, maksudnya:
“Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”
Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.
Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu:
- Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat.
- Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya.
- Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.
Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.
Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam sabda yang bermaksud:
“Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu.
- Apabila dahinya berpeluh.
- Air matanya berlinang.
- Hidungnya keluar cecair.
Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah s.w.t. Justeru, serulah air mata itu dari persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis, membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.
Rabu, 4 November 2009
KERANA MARAH
Saya tertarik dengan kisah ini dan ingin sekali berkongsi bersama teman teman di sini. Khusus untuk ibu-bapa dan juga bakal ibu dan bapa, berishtigfarlah banyak-banyak kali kalau saat tengah marah. Pukul anak jangan lah sampai mencacatkan. Ingat, anak itu anugerah Allah yang tak ternilai harganya dan amanah daripada Allah. Pukullah anak sekadar pengajaran bukan kerana hati dan perasaan kita. Moga kisah ini mampu menjadi teladan buat kita yang telah dan akan mendirikan rumahtangga.
Sesal dulu pendapatan sesal kemudian tak berguna!!
Kisah ini berlaku di utara semenanjung dimana tinggalnya sepasang suami isteri
beserta seorang anak lelaki baru berumur 3 tahun yang petah bercakap
dan tengah nakal, juga seorang pembantu rumah.
Menjadi kelaziman keluarga di Malaysia ini anak ditinggalkan dengan
pembantu rumah sewaktu keluar bekerja. Ketika si pembantu rumah ini
sedang sibuk dengan kerja harian membasuh dan memasak, anak yang
tengah lasak dan nakal ini bermain seorang diri diluar rumah.
Ditakdirkan anak ini terjumpa dengan sebilah paku yang berkarat.
Almaklumlah oleh kerana budak tengah nakal yang suka menconteng dan
melorek apa saja maka dijadikannya kereta abahnya sebagai papan
hitam/buku. Suami isteri tersebut tidak memandu ke pejabat hanya naik
motosikal sahaja maklumlah nak jimat belanja.
Si anak tadi telah menconteng, malah apa saja pada seluruh badan
kereta ayahnya yang berkilat sebab baru di polish. Habislah kereta
tersebut dengan segala macam kreatif anak nakal. Kejadian ini tidak
disedari oleh pembantu rumah.
Baliknya si ayah dari pejabat maka terkejut besar separuh mati, nasib
baik tak mati sebab lemah jantung melihatkan kereta kesayangan jadi
sedemikian rupa. Hilang penat terus menerkam kepada pembantu rumah
yang terpinga pinga dan ketakutan sebab melihat muka tuan yang marah
merah macam ketam dibakar. Siapa punya kerja ini tanya beliau dengan
keras, si anak yang ingin bermanja menjawab dengan jujur itu adalah
kerjanya.
Si ayah yang tengah panas baran itu terus mencapai rotan dan
memukul tangan si anak bertubi tubi kali tanpa belas kasihan dan
menghiraukan jerit lolong anak manja tersebut. Sudah terasa puas
barulah ia berhenti tapi disambung pula oleh si ibu yang geram dengan
perangai anak tersebut memukul dengan rotan ditempat yang sama sebagaimana suaminya tadi.
Si ibu hanya berhenti setelah melihatkan anak tersebut berhenti menangis
dan jatuh pengsan. Pembantu rumah hanya terlopong melihatkan
peristiwa tersebut disamping rasa terkejut dan rasa takut.
Ayah dan ibu anak tersebut dengan rasa benci dan marah membiarkan
anaknya tidur dengan orang gaji tanpa menghiraukanya yang menangis
selama tiga hari berturut siang malam menangung sakit. Pembantu
rumah tersebut oleh kerana sudah tidak tertahan lagi melihatkan azab
sianak yang menangis tidak henti henti serta menangung kesakitan yang
teramat sangat lalu merayu kepada majikanya agar membawa anak tersebut berjumpa doktor.
Oleh kerana siayah mengalami gangguan untuk tidur maka ianya bersetuju membawa ke klinik, di klinik doktor arah rujuk kepada hospital pakar. Satelah diperiksa dan x-ray, tidak ada apa yang boleh ditolong lagi
melainkan potong sahaja tangan anak tersebut untuk mengelakkan dari
merebak ke bahagian atas sebab telah bengkak hampir ke paras siku dan
bernanah didalam disebabkan tulang yang hampir hancur kena pukul.
Si ayah yang masih marah begitu juga dengan si ibu bersetuju apabila
doktor meminta untuk menandatangani surat kebenaran pembedahan tanpa soal jawab yang panjang. biar menjadi pengajaran kepada anak tersebut.
Setelah si anak tadi sedar dari kesan ubat bius pembedahan ianya
terkejut melihat tangan berbalut putih macam serban. Maklumlah anak
yang keletah, nakal, manja dan petah bercakap tersebut berkata kepada
si ibu dan ayah. Papa, mama; saya berjanji tidak akan buat lagi perkara
tersebut, tidak akan menconteng lagi kereta abah dan tak nak buat
jahat lagi, kata nya berulang kali sebagai tanda takut akan dirotan
lagi. Tapi abah dan mama bagi lah balik tangan saya, pulang kan lah
balik tangan saya, pasang kan lah balik tangan saya yang abah ambil
itu, saya berjanji tak akan buat lagi. kata nya berulang kali sebagai
tanda kesal.
Bagaikan gugur jantung si ibu direntap dengan kata kata anak tersebut
meraunglah ia setelah tersedar akan kesilapan yang telah dilakukan.
Bersamalah kita bermuhasabah diri dan saling mengingati antara satu sama lain
Isnin, 2 November 2009
Kemelut novel Islam pop
Oleh Nurul Farina Nazlan/berita Harian/3 nov 2009
Demam Ayat-ayat Cinta berjangkit pengarang Malaysia
SASTERA Islam kini dilihat semakin terarah untuk mengikut pendekatan penulisan sastera popular apabila semakin ramai penulis baru dalam kelompok ini berusaha mencipta nama dengan novel Islam berbau pop selepas Ayat-Ayat Cinta menjulang nama Habiburrahman el-Shirazy.
Kejayaan Habiburrahman memenangi sebahagian besar peminat novel Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, sehingga ia dipindahkan ke filem dijadikan sebagai landasan untuk menghasilkan karya sedemikian bagi menjamin ‘pelaburan’ idea dan pengorbanan masa mereka mendapat pulang baik.
Novelis Islami, Zaid Akhtar, mengakui bahawa sejak ‘demam’ Ayat-Ayat Cinta melanda Indonesia dan Malaysia, semakin ramai penulis terdorong untuk menulis novel berkonsep sedemikian dengan harapan mereka turut dapat menumpang tuah pengarang Indonesia terbabit.
“Barangkali disebabkan sambutan hebat terhadap novel popular itu yang diulang cetak berkali-kali membuka mata pelbagai pihak termasuk penerbit dan penulis bahawa novel dan karya Islam juga mampu menarik minat masyarakat untuk menjadikannya sebagai wacana ilmu,” katanya kepada Sastera ketika ditemubual secara dalam talian.
Zaid juga mengakui bahawa minat pembaca terutama generasi muda kini lebih cenderung membaca novel cinta melalui pendekatan dan cara penulisan yang lebih bersifat Islamik jika ia disorot pada perkembangan yang berlaku dalam industri buku akhir-akhir ini.
“Sambutan terhadap novel popular sedia ada dikatakan agak merosot sebaliknya, pembaca mula beralih kepada novel Islami berkonsepkan pop kerana generasi muda secara fitrahnya lebih cenderung dengan persoalan cinta dan kasih sayang,” jelasnya.
Zaid atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Abdul Majid, menolak novel Islami pop di Malaysia dimulai dengan Ayat-Ayat Cinta kerana pengarang generasi baru Malaysia, Faisal Tehrani sudah pun memulakannya melalui Tunggu Teduh Dulu secara bersiri untuk Ruangan Agama akhbar Utusan Melayu pada 2003 sebelum ia dibukukan.
“Bagi saya Tunggu Teduh Dulu lebih baik daripada Ayat-Ayat Cinta jika ditinjau daripada beberapa sudut, tetapi tidak menjadi fenomena dan tidak pula dianggap perintis aliran terbabit seperti yang dinikmati karya pengarang negara jiran itu,” jelasnya.
Kehadiran novel Islami pop dilihat Zaid membawa kesan positif dan negatif kepada negara apabila pembaca beroleh bahan bacaan alternatif berbanding penyogokan novel cinta popular yang melanda pasaran buku tanah air seperti sebelum ini
“Novel Islami pop banyak dihasilkan lulusan agama dan sedikit sebanyak mampu mendidik, berdakwah serta melaksanakan tuntutan menggalakkan kebaikan dan menentang kemungkaran selain boleh dijadikan jambatan untuk pembaca menyeberang ke wilayah novel sastera lebih serius pada masa depan,” ujarnya.
Untuk membolehkan perkara terbabit direalisasikan, maka pengarang dinasihatkan menjadikan cinta sebagai rencah dalam novel dengan kedudukannya sebagai nombor dua, tiga atau empat dan bukannya paksi yang melatari sepanjang naratif.
Pandangan Zaid disokong Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Samsina Abd Rahman yang menegaskan bahawa perubahan corak penulisan sastera islam adalah sebahagian usaha penulis untuk menarik pembaca terutama remaja.
“Dalam aspek ini, walau sesarat manapun sesuatu penulisan itu mengenai cinta, ia tetap perlu berlandaskan cinta utama iaitu cinta kepada Allah dan masih meniti ke jalan cerita yang memperjelaskan apa juga perlu mengikut syariat Islam,” jelasnya.
Beliau berhujah dengan mengemukakan Teori Sastera Islam yang menuntut pengarang menyempurnakan diri dengan ilmu agar penghasilan karya lebih sempurna dan pembaca pula perlu sedar bahawa bahan yang dibaca ialah karya Islam serta menguasai ilmu bagi menilai karya yang dibaca.
“Pengarang perlu ada niat yang betul apabila menghasilkan sesuatu karya Islam kerana ia perlu berpegang kepada pendirian bahawa ia bertujuan memperbaiki diri dan kita perlu meneliti bagaimana kaedah yang perlu diolah agar lebih terarah kepada sastera Islam sebenar,” ujarnya.
Dr Samsina menasihatkan pengarang agar memanfaatkan saluran sastera bagi memberi nasihat kepada pembaca manakala, pembaca pula dinasihati agar menghayati karya dan bukan membaca sekadar bahan berbau hiburan semata-mata.
Ahad, 1 November 2009
sempit rezeki sebab dosa
Begitulah bunyi keluhan ramai orang yang kita jumpa. Kadangkala kita juga seakan-akan pernah mengomel dalam bahasa yang sama, tak begitu??
Masyarakat nyata tertekan dan gelisah menghadapi situasi tersebut lebih-lebih lagi dalam suasana hambatan ekonomi yang mencengkam serta kos kehidupan yang semakin tinggi. Kerana terlalu memikir dan melayan tekanan hidup itu tanpa rasa tawakkal dan pengaduan kepada Allah yang Maha Bijaksana dan Mengetahui, maka hari demi hari, dilaporkan semakin bertambah ramai jumlah sang pengembara yang terpaksa pulang mengejut kerana telah disapai tetamu tak diundang, ‘The silent killer’ yang menjadi sebab-musabab membawa kepada kematian.
Tetamu senyap itu apa lagi kalau bukan tekanan darah tinggi.Saat awal dilanda kemelut (tekanan hidup) ini, bagi sebahagian masyarakat Islam yang mampu, mereka mungkin cuba mendapatkan khidmat kaunseling dari kaunselor bertauliah. Tak cukup dengan itu, mereka bertemu dengan pakar-pakar motivasi. Lalu beberapa tip dan panduan dibekalkan untuk tindakkan jangka pendek dan jangka panjang.
Antaranya: faktor perancangan masa (Time manegement), factor displin, faktor belajar dari kegagalan, factor meraih peluang dan macam-macam lagilah.
Mereka juga disarankan agar membaca karangan-karangan hebat ‘mereka’ yang dinobat sebagai ‘paling berjaya’ dalam bidang-bidang yang popular samada dalam bidang ekonomi, pentadbiran, pengurusan, keewangan dan lain-lain lagi. Saat itu, berkobar-kobar semangat mereka untuk meraih kejayaan dan keuntungan yang berlipat ganda.
Namun bila terjun semula ke alam reality atau dunia sebenar, masalah sebenar mereka masih juga tidak hilang. Masalah hidup makin bertimpa-timpa. Pintu rezeki semakin menyempit dan hutang pula semakin melilit pinggang. Kawan-kawan yang konon rapat dan berikrar sehidup semati dengan kita dulu pun, ramai yang telah ‘angkat kaki’ hilang entah ke mana. Tanpa kembali kepada Islam, jawapan kepada ‘ketidaktentuan’ rezeki kita itu tidak akan terjawab sampai bila-bila.
Bila pintu rezeki ditutup Allah, maka dunia terasa menghimpit. Inilah yang dinamakan ‘Khizyun’ yakni kehinaan dunia akhirat. Wal ‘iyazubillah.
DOSA PENGHALANG REZEKI
Dari awal lagi, Islam telah mengajar umatnya bahawa meninggalkan ketaqwaan di dalam apa jua aspek kehidupan akan mengundang kemiskinan dan kemelaratan. Macam-macam kemiskinan boleh berlaku bila taqwa tidak dimiliki.
Semuanya termaktub di dalam alquran dan sunnah Nabi saw. Tidak miskin harta, seseorang yang melakukan dosa terus menerus tanpa taubat boleh jadi miskin iman, miskin hidayah, miskin ilmu, miskin akhlak dan adab, miskin maruah dan jatidiri. Dalam kata-kata yang lain, kalau taqwa menjadi faktor ‘pengundang’ rezeki, keberkatan dan rahmat Ilahi, maka kesan dosa, maksiat dan mungkar adalah sebaliknya.
Lalu, pernahkah selama ini terfikir dan terlintas di hati kita, bahawa dosa yang kita lakukan samada terhadap Allah dan sesama manusia selama ini menjadi faktor atau penyebab ‘sempit’ dan ‘terhalang’nya rezeki Allah dari rezeki kita? Tersebut di dalam sebuah kitab Musnad: “Sesungguhnya manusia terhalang dari rezeki lantaran dosa yang dilakukannya”.
Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ad Dailami, Nabi saw bersabda: “ Perbuatan zina itu mewariskan (mendatangkan) kefakiran (kemelaratan)”.
Memang benar. Itulah hakikatnya. Melalui hadith-hadith Nabi saw berkenaan keutamaan amalan, bukankah istighfar kepada Allah, menghubungkan silaturrahim, memberi sedekah, mengeluarkan zakat dan banyak lagi menjadi faktor ‘pengundang’ dan ‘pembukaan’ pintu-pitu rezeki? Semua itu tidak lain adalah amalan taqwa.
Firman Allah swt: “Jikalau penduduk sesuatu penduduk kampung (negeri) beriman dan bertaqwa, nescaya Kami akan bukankan ke atas mereka (pintu-pintu) keberkatan dari pihak langit dan pihak bumi”. Manusia yang tinggi taqwanya, mampu pula mengagih-agihkan kurniaan dan rezeki Allah kepada insan-insan yang lain pula.
Demikianlah pengalaman benar pemandu-pemandu teksi di zaman tok kenali rahimahullah. Wali Allah dan alim besar yang terkenal kelahiran negeri Serambi makkah. Sekiranya beliau menaiki mana-mana teksi, maka dengan izin Allah, maka pemandu-pemandu teksi tersebut akan mendapati penumpang yang sentiasa penuh (tidak putus) dari awal pagi hinggalah ke petang. Bukankah ia satu kuniaan Allah hasil ketaqwaan?
REZEKI TIDAK BERKAT
Tanpa asas taqwa, seandainya seseorang itu dilihat melimpah ruah hartanya sekalipun, ia tak lebih merupakan ‘istidraj’ dari Allah. Itulah pemberian yang disertai laknat dan kutukkan. Mahukah kita dikurniakan rezeki sebegitu? Mahukan kita pemberian yang sedemikian? Kalau jawapan kita ‘ya’, maka kita tak lebih umpama Qarun, Tha’labah Yahudi Mabuk serta yang sama waktu dengan mereka.
Bagi golongan ini wang, harta dan kemewahan adalah segala-galanya. Dari mana punca dan sumbernya, tidak pernah diambil kira. Mereka langsung tidak memperdulikannya. Lihat kesudahan mereka. Tiada apa lagi yang boleh menahan mereka daripada terkubur hina bersama dengan harta haram dan syubhat yang mereka usahakan selama ini.
Nabi saw menamsilkan bahawa harta dunia ini selamanya tidak akan membawa kepuasan jiwa. Nafsu tidak akan merasa cukup walau sebanyak mana pun harta yang ada. Sudah dikendong dan dikilik dunia yang pertama di tangan kanannya, ia meminta pula agar dikurniakan dunia yang kedua dan ketiga. Macam orang yang sangat dahaga yang diberi minum air laut. Dahaganya tidak hilang-hilang. Apalagi kalau harta tersebut diperolehi secara haram seperti dari sumber judi, rasuah, riba, menipu, memeras ugut dan sebagainya.
Bagaimana perasaan hati kita tinggal, membesarkan anak-anak dan beribadat di dalam rumah yang dibeli secara riba? Menaiki kenderaan yang dibeli secara riba ke masjid, ke majlis ilmu dan pergi menziarahi saudara mara? Tidak malukah kita memakan rezeki pemberian tuhan dalam keadaan tidak bersujud, menyembah dan mentaati segala perintah yang Esa?
Tenangkah suasana ‘airmuka’ kita saat membeli juadah santapan untuk seisi keluarga dengan duit hasil rasuah atau sogokkan orang pada kita? Atau dari hasil judi dan tikam ekor? Hati kita tidak terasa apa-apa lagikah? Kalau begini halnya, percayalah bahawa tiada lagi berkatnya dalam usaha bahkan dalam rezeki kita. Inikah yang kita cari sepanjang musafir kita di dunia ini?
Begitulah buruknya kesan dosa dan maksiat dalam kehidupan kita. Mudah-mudahan kita dipelihara Allah swt. Suluhlah hakikat diri dan kehidupan kita selama ini. Nescaya kita akan dapati ada kebenarannya apa yang kita utarakan ini.
Jangan lupa, kiaskan pula pada keluarga dan masyarakat kita. Ingatlah, sekiranya dosa membeliti diri, maka kurniaan rezeki tidak lagi menguliti. Sekalipun ia tampak menguliti diri, namun sama-sekali ia tidak diberkati.
Koleksi ANIS / Oleh: Amal Islamy
Jumaat, 30 Oktober 2009
REDHA
1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.
2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.
3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :
- Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
- Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.
Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :
Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.
Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .
Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.
Redha Dengan Qada' :
Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.
Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :
" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :
Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.
Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )